Wanita + Haid + Ketip Kuku + Potong Rambut = [Boleh?]



— Wanita + Haid + Ketip Kuku + Potong Rambut = [Boleh?] —
[Soalan]
Ketika seorang perempuan sedang berada dalam keadaan haid, bolehkah dia mengetip kuku dan memotong rambut?
Sebab ada kata boleh,
Ada kata tak boleh.
Adakah kita perlu simpan kuku yang diketip dan rambut yang gugur ketika haid, lalu bawa mandi wajib sekali?
Sebab ada kata perlu
Ada kata tak payah pun.
Saya keliru.
Mohon Aiman Banna berikan jawapan.
Terima kasih.
[Jawapan]
Bismillah, dengan nama Tuhan aku mulakan tarian jari-jemari atas papan kekunci ini.
Soalan ini banyak ditujukan kepada saya sama ada semasa ceramah ataupun melalui media sosial, dan saya akan cuba menjawab persoalan sebaiknya dengan izin-Nya.
p/s: Saya post lagi sekali kerana ramai yang masih soal perkara ini di alam maya maka saya harap perkara ini boleh dipanjang-panjangkan lagi inshaAllah agar masyarakat kita faham. :)
Pertama, saya bukanlah orang yang terbaik untuk menghurai atau menjawab isu ini cuma saya hanya berkongsi apa yang saya tahu dan apa yang saya telah talaqi sebelum ini tentang haid wanita. 
Saya ada meletakkan rujukan kitab dan asatizah saya di penghujung artikel ini.
Sungguh, saya faqir fi tholibil ilm sahaja dan saya hanya berkongsi sahaja. Andai ada salah silap, saya mohon agar ditegur terus. Dan saya amat galakkan agar kalian rujuk dengan alim yang sudah pasti lebih alim dari saya. Moga Allah menjawab persoalan kalian.
Ayuh kita terus kepada jawapan persoalan ini.
___
Secara mudahnya, TIDAK SALAH UNTUK KETIP KUKU DAN POTONG RAMBUT KETIKA HAID.
___
Itu jawapan ringkas daripada apa yang saya pegang dan faham selama ini. Hujahnya ada dibawah.
Jom kita berkenalan dengan haid dulu.
Darah yang keluar dari kemaluan wanita ada tiga macam.
Darah haid.
Darah nifas.
Darah istihadhah.
Darah haid adalah darah yang keluar dari kemaluan wanita dalam keadaan sihat, bukan kerana melahirkan, warnanya hitam kemerah-merahan lagi terasa panas.
Waktu haid itu paling sedikit adalah sehari semalam, dan paling lama lima belas hari. Sedangkan pada umumnya enam atau tujuh hari. Masa suci antara dua haid itu paling sedikit adalah 15 hari, dan paling lama tidak terbatas.
Sekurang-kurangnya umur wanita yang mulai haid itu 9 tahun.
Ok, itu sedikit sebanyak tentang haid. Jom jawab soalan saya di bawah ini;
Pernah tidak kita dengar bahawa untuk kita ketip kuku, wajib ambik wudhuk dulu? Kalau tidak ketip kuku itu tidak sah ataupun haram hukumnya jika ketip kuku tiada wudhuk. Ataupun sebelum kita potong rambut kat salon, diwajibkan untuk kita ambil wudhuk dulu?
Tidak pernah bukan?
Ya, benar. Tidak ada perkara sedemikian.
Apabila didalami kitab al-Fiqh 'Ala al-Mazahib al-Arba’ah (Fiqh 4 mazhab) mengemukakan: 
“Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.”
Jom kita analisis;
Ketip kuku tidak disyaratkan untuk ada wudhuk.
Memotong rambut tidak disyaratkan untuk ada wudhuk.
Dengan penjelasan di atas,tidak haram pun untuk ketip kuku dan potong rambut ketika haid.
Ayuh telusuri hal-hal yang diharamkan dilakukan oleh wanita yang sedang haid:
1. Solat
2. Puasa
3. Baca Quran
4. Menyentuh / Bawa Quran
5. Masuk dalam masjid
6. Tawaf
7. Bersetubuh
8. Menikmati bahagian tubuh yang ada di antara pusat dan lutut.
Ada lapan perkara manakala hal yang haram bagi orang yang sedang junub ialah:
1. Solat
2. Baca Quran.
3. Sentuh / bawa Quran
4. Tawaf
5. Duduk dalam masjid.
Lihat? Tiada pun antara hal-hal yang haram dilakukan oleh orang yang sedang junub atau khususnya kepada wanita yang sedang haid untuk ketip kuku atau potong rambut.
Konklusinya,
Tiada masalah pun untuk ketip kuku dan potong rambut ketika haid.
___
Jika anda ingin hujah yang lebih panjang dan padat, saya nukilkan di bahagian bawah ini. Moga bermanfaat! :)
___
“Tapi kenapa kami selalu dengat tak boleh dan haram untuk ketip kuku dan potong rambut. Kerana ajaran ini sepertinya telah sebati dalam masyarakat dan kami percaya akannya telah lama…”
Ada yang kata tidak boleh dan haram itu kerana mereka berpandukan hadis ini:
لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)
Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah ini. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). 
Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin;
“Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)”
(Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).
Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.
___ 
p/s: Saya dhoif. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan Imam Ghazali, namun dalam artikel ini saya cuma menaqalkan semula sahaja kalam Ulama’. Saya ulang, bukan saya nak tunjuk pandai, saya cuma naqalkan sahaja. Andai ada salah silap, tegur saya yang masih penuntut ilmu yang faqir ini.
Ayuh kita sambung telusuri...
__
Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah
(lihat; Syarah Sohih al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).
Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal);
“Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”
(Riwayat Imam al-Bukhari). 
Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; 
“Tidak mengapa (yakni harus)”.
Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;
ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah”
(HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).
Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.
Dalam buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis,
“Tidak makruh dalam pandangan mazhab Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.”
Imam Al-Ghazali ada mengatakan dalam kitab Ihya’ tadi;
“kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.”
Bagi saya yang dhoif ini, tubuh badan kita tidak akan sama macam keadaan kita atas muka bumi Tuhan ini.
Al-Quran menyatakan bahawa wanita-wanita penghuni syurga (yang tua sekalipun) akan dijadikan Allah SWT sebagai gadis-gadis remaja, penuh cinta dan sebaya dengan suami-suami mereka.
“Sesungguhnya Kami sudah ciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan yang istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)”
(Waqi’ah 35, 36)
___
Agama islam ini mudah.
Agama ini sangat indah.
Adakah kita perlu simpan kuku yang diketip dan rambut yang gugur ketika haid, lalu bawa mandi wajib sekali?
Dalam hal mandi wajib, mazhab Abu Hanifah meletak garis panduan bahawa wajib membasahi seluruh anggota badan yang dapat disentuh oleh air selama hal itu tidak menyulitkan. 
Dalam konteks kemudahan itu, ulama membincangkan wajib tidaknya rambut yang digulung atau diikat sebahagian atas sebahagian yang lain, untuk diurai terlebih dulu baru mandi.
Abu Hanifah tidak mewajibkannya, cukup membasahi. Imam Malik juga tidak mewajibkan mengurai rambut yang bersanggul selama ikatannya tidak terlalu ketat sehingga air dapat mengalir ke dalam. Alasan mereka adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Ummu Salamah bertanya kepada Nabi SAW;
“Aku adalah seorang wanita yang mengikat rambutku, apakah aku harus mengurainya dalam rangka mandi junub?” Nabi menjawab, “Tidak! Cukup engkau menuangkan air ke atas kepalamu sebanyak tiga kali.”
Imam Syafie, walaupun mengharuskan menguraikan sanggul apabila air tidak mengena rambut, namun beliau berpendapat bahawa agama memaafkan bahagian dalam dari rambut yang terikat untuk tidak terkena air.
Jika diteliti dalil-dalil dan pendapat di atas ternyata Rasulullah SAW tidak memberatkan para wanita yang berambut panjang untuk mengurai seluruh rambutnya bagi menjirus air ketika mandi junub untuk mengelakkan dari kesukaran. Apalagi jika berkaitan memandikan rambut yang telah gugur itu lebih menyukarkan. Sedangkan prinsip syariah ialah meringankan tanpa membebankan penganutnya.
Di sini juga saya bawakan jawapan Imam Ibn Taymiah bila ditanya tentang hal ini di dalam kitabnya Ghiza' al-albab, 1/382).Beliau berkata: 
"Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati", malah Nabi memberitahu: "Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam).”
Maka jelaslah bahawa dibenarkan, bahkan tidak dilarang untuk memotong kuku mencukur atau membuang apa-apa yang lebih daripada kebiasaannya yang tumbuh di tubuh kita semasa dalam hadas besar. Islam adalah yang mudah, maka jangan kita mempersulitkan diri kita dlm beramal." 
Rujukan dan penghargaan:
Quran, matan Abi-Syuja’, kitab ‘al-Fiqh 'Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Ihya’ ‘Ulumuddin, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, (dan kitab yang lain-lain). Juga kepada Ustaz Luqman, Ustazah Shahidah serta tok guru saya yang mulia, Ustaz Syauqi (Pondok Baitul Qura’) yang sudi mengadakan talaqi kitab fiqh.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk kalian.Kongsikan jauh-jauh jika anda rasa ianya bermanfaat.
Semoga Allah sayang dan redha,
InshaAllah Allah kurnia kita Syurga.
Seorang Hamba,
Aiman Banna.

____
Saya terbuka untuk sebarang cadangan atau idea yang bermanfaat dari anda untuk saya. Ataupun sebarang komen atau kritikan. Boleh contact saya di aimaanbanna@gmail.com :)
____